Apabila
seorang Mukmin itu merasai kemanisan iman dalam hatinya, beliau
pasti
mencintai Nabi Muhammad SAW kerana Baginda sebaik-baik contoh dan
akhlak.
Secara semula jadi, segala kelebihan yang Allah
anugerahkan kepada Nabi Muhammad SAW akan menarik perhatian manusia dan
menjadi contoh mereka dalam aspek keagamaan, keduniaan dan
kemasyarakatan.
Bahkan ada sahabat jatuh sakit jika tidak bertemu Rasulullah SAW dalam tempoh lama.
Diriwayatkan oleh Iman Al-Bughawi, daripada Thauban mawla Rasulullah
SAW. Beliau amat mencintai Rasulullah SAW dan kurang sabar dalam hal
ini. Pada suatu hari beliau bertemu dengan Rasulullah SAW dalam keadaan
yang berlainan.
Maka Nabi Muhammad SAW bertanya kepada beliau:
“Apa yang mengubah keadaanmu sebegini wahai Thauban?” Jawab beliau:
“Wahai Rasulullah! Aku tidak mempunyai sebarang penyakit. Hanya hati
amat merindui apabila tidak dapat melihat dirimu. Kemudian aku
terkenangkan hari akhirat. Maka aku khuatir tidak lagi dapat melihat
dirimu kerana engkau akan diangkat bersama para nabi. Jika aku dapat
memasuki syurga sudah tentu kedudukanku lebih rendah. Sekiranya aku
tidak dapat memasuki syurga, sudah tentu aku tidak akan melihatmu lagi.”
Maka turun ayat al-Quran yang bermaksud: “Dan sesiapa yang taat kepada
Allah dan Rasul-Nya, maka mereka akan (ditempatkan di syurga) bersama
orang yang dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka, iaitu nabi dan
orang siddiq dan yang syahid serta soleh. Dan amatlah eloknya mereka itu
menjadi teman rakan (kepada orang yang taat).” (Surah an-Nisaa’, ayat
69)
Satu persoalan yang perlu diperhatikan, adakah wujud
penghalang yang boleh memutuskan fenomena cinta sederhana ini? Sebagai
Muslim, selama mana beliau masih lagi istiqamah dengan keimanannya dan
patuh setiap perintah syarak, hendaklah sentiasa menjalinkan hubungan
dan tidak harus memutuskan persaudaraan.
Berdasarkan kenyataan
ini, apabila berlaku perkelahian, permusuhan dan kebencian antara dua
orang Muslim, tidak harus bagi mereka memutuskan persaudaraan lebih
daripada tiga hari.
Sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud:
“Tidak halal bagi seorang Muslim bahawa dia memutuskan persaudaraan
lebih daripada tiga hari.” (Hadis riwayat sahih Bukhari dan Muslim)
Tempoh ini mencukupi bagi dua orang yang bertelagah berdamai. Jika
permusuhan itu melebihi tiga hari, maka kedua-duanya berdosa jika
permusuhan itu membabitkan kes individu dan sebab peribadi saja. Jika
permusuhan itu berkait dengan perkara keagamaan, maka menjadi
tanggungjawab seorang Muslim untuk memberi nasihat kepada saudara
seagamanya yang sedang melakukan dosa.
Berdasarkan sabda Nabi
Muhammad SAW yang bermaksud: “Agama itu adalah nasihat. Kami (sahabat)
bertanya, bagi siapa (nasihat itu)? Sabda Nabi Muhammad SAW: Bagi Allah,
kitabNya, Rasul-Nya dan bagi pimpinan Muslimin dan keseluruhan umat
Islam.” (Hadis riwayat Muslim)
Jika nasihat yang diberikan
tidak mendatangkan manfaat sedangkan saudara seagama dalam kemaksiatan
dan kefasikan, maka wajib ke atas Muslim itu meninggalkannya kerana
Allah walaupun beliau salah seorang dari kaum keluarga atau taulan.
Diriwayatkan dalam hadis sahih bahawa Nabi Muhammad SAW meninggalkan
sebahagian isteri Baginda selama sebulan untuk mencegah dan mendidik
mereka.
Berdasarkan itu, jelas bahawa memutuskan persaudaraan
kerana Allah terbahagi kepada dua bahagian permusuhan sementara dalam
tempoh tertentu bertujuan untuk mendidik dan permusuhan yang kekal abadi
sehingga ke akhir hayat ke atas insan yang melanggar hukum Allah.